Sebelum ini, Perdana Menteri Datuk Seri Najib mengesahkan bahawa
seseorang telah mematikan alat pengesan radar pesawat MH370 dan
melakukan pusingan U. Ekoran itu, timbul kemungkinan berlaku rampasan
dan sebotaj ke atas pesawat tersebut sehingga mendorong kepada siasatan
terhadap Kapten Zaharie.
Bagaimanapun, Chris Goodfellow yang berpengalaman 20 tahun sebagai
juruterbang mempunyai teori sendiri. Menurutnya, isu kehilangan pesawat
MH370 terlalu dirumitkan sedangkan jawapannya mungkin mudah iaitu
berlaku kebakaran di kokpit.
Dalam catatan akaun Google+ miliknya, Goodfellow, sebaik mendengar
berita pesawat itu berpatah balik ke arah Selat Melaka dari Laut China
Selatan, dia terus memeriksa peta dan mendapati MH370 mungkin menuju
lapangan terbang terdakat di Pulau Langkawi selepas berlaku masalah
seperti kebakaran dalam kokpit.
"Kunci utama di sini adalah pusingan kiri dibuat pesawat itu.
Juruterbang (Kapten Zaharie Ahmad Shah) adalah kapten yang sangat
berpengalaman dengan lebih 18,000 jam penerbangan. Mungkin juruterbang
lebih muda yang ditemu ramah (agensi berita) CNN tidak sedar mengenai
pusingan kiri.
"Kami juruterbang lama dilatih untuk sentiasa tahu di mana lapangan
terbang paling dekat ketika terbang untuk perlindungan selamat jika
kecemasan."
Menurut Goodfellow lagi, apabila melihat pusingan kiri dibuat oleh
pesawat MH370 dan menuju terus ke arah bertentangan, nalurinya
memberitahu juruterbang itu mungkin mahu menuju ke lapangan terbang
terdekat.
"(Zaharie) sebenarnya mengambil laluan terus di atas laut ke Pulau
Langkawi yang tidak mempunyai banyak halangan. Dia tidak kembali ke
Kuala Lumpur kerana dia tahu (laluan itu) merentasi gunung (Banjaran
Titiwangsa) setinggi 8,000 kaki. Dia tahu laluan ke Langkawi lebih mudah
dan jaraknya lebih dekat."
Goodfellow percaya Zaharie mengambil tindakan betul pada ketika mereka
mungkin menghadapi masalah serius yang mendorong kepada tindakan
pusingan U untuk menuju ke lapangan terbang terdekat di Pulau Langkawi.
Katanya, terputusnya komunikasi (ACARS) termasuk kesan radar adalah munasabah jika berlaku kebakaran di dalam kokpit.
"Melihat masa kejadian, mungkin berlaku kepanasan melampau pada salah
satu tayar hadapan dan ia pecah sebaik pesawat berlepas dan terbakar
perlahan-lahan.
"Ya, ini boleh berlaku dengan tayar yang kurang angin. Ingat ini pesawat
berat, (dan insiden berlaku) pada malam yang panas dan landasan yang
panjang."
Katanya, ada insiden di Nigeria pada 1991 melibatkan Douglas DC-8 yang
tayarnya terbakar semasa berlepas menyebabkan asap tebal melemaskan kru
dan penumpang.
Katanya, juruterbang memang ada akses kepada topeng oksigen tetapi ia
tidak boleh digunakan semasa kebakaran. Sebaliknya, kebanyakan
juruterbang ada penutup muka dengan penapis asap tetapi ia hanya boleh
bertahan beberapa minit sahaja.
"Apa yang berlaku adalah (kedua-dua juruterbang) lemas akibat asap dan
pengsan, menyebabkan pesawat itu terus terbang menggunakan aplikasi
sistem autopilot sehingga sama ada kehabisan minyak atau kebakaran
memusnahkan papan kawalan dalam kokpit."
Jika itu benar, kata Goodfellow, Zaharie adalah wira yang bertarung
situasi mustahil untuk cuba membawa pesawat itu ke Pulau Langkawi.
"Tiada was-was lagi dalam fikiran saya, itulah sebab mengapa pesawat itu berpusing dan mengambil laluan lurus."
Jika berlaku rampasan atau sabotaj, katanya, ia tidak akan sengaja pusing ke sebelah kiri dan menuju ke arah Pulau Langkawi.
Goodfellow mengakhiri tulisannya dengan kata-kata: "Juruterbang bijak. Cuma tidak mempunyai masa mencukupi."
Apa yang ditulis Goodfellow dan ramai lagi pakar di seluruh dunia tetap
kekal menjadi spekulasi selagi pesawat MH370 tidak ditemui.
Sumber
No comments:
Post a Comment