KUALA PILAH – Seorang lelaki yang sudah mempunyai seorang cucu dicekup
polis selepas disyaki melakukan empat kes mencabul kehormatan
kanak-kanak di Kuala Pilah sekitar Mac dan Jun lalu.
Suspek berusia 57 tahun itu ditangkap Jabatan Siasatan Jenayah Kuala
Pilah diketuai Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Pilah, Asisten
Superintendan Normansah Din, kira-kira 3.30 petang di Hilir Perak, Ahad
lalu.
Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Superintendan Azmi Abdul Rahim berkata,
suspek yang berasal dari Kampung Selabak Jalan Changkat Jong, Teluk
Intan Perak pernah menjalani perintah buang daerah di Batu Kikir, Jempol
selama dua tahun bermula 23 September 2011 sehingga September 2013.
Menurutnya, semasa perintah buang daerah, suspek dipercayai membuat
perniagaan jualan langsung dan melakukan perbuatan mencabul kehormatan
kanak-kanak di sekitar daerah ini.
“Bertindak atas laporan daripada mangsa, terdapat empat kes berlaku
dekat sini melibatkan empat kanak-kanak perempuan berusia di antara
lapan hingga sembilan tahun.
“Kesemua kejadian itu berlaku di lokasi berbeza. Kes pertama pada 26 Mac
lalu jam 11.20 pagi di Simpang Pelangai, manakala kes kedua dan ketiga,
berlaku pada Jun," katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Daerah
Kuala Pilah, semalam.
Azmi berkata, kes kedua berlaku di Taman Jemapoh Indah, jam 5.30 petang
pada 8 Jun lalu dan 16 Jun pada jam 6 petang di Rumah Rakyat Selaru.
"Julai pula, suspek melakukan perbuatan terkutuk itu pada 6 Julai jam 7 petang di Pasaraya Econsave Melang," katanya.
Katanya, suspek menggunakan modus operandi bertemu mangsa yang
keseorangan lalu meminta bantuan membelikan makanan atau barangan dan
mengajak mangsa menaiki motosikalnya.
“Suspek dengan pujuk rayunya, akhirnya berjaya mengaburi mangsa dengan
membawa mangsa ke lokasi sunyi jauh dari orang ramai seperti tanah
perkuburan lalu mengugut mangsa," katanya.
Sejurus melepaskan nafsu serakahnya itu, katanya, suspek membiarkan
mangsa bersendirian tinggal di kawasan tempat kejadian untuk pulang ke
rumah.
“Mangsa dalam keadaan trauma terpaksa berjalan kaki pulang ke rumah dan
ada kalanya jarak antara tempat kejadian dan lokasi rumah lebih dari dua
kilometer," katanya.
Katanya, suspek direman pada hari ditangkap sehingga hari ini bagi
membantu siasatan sebelum dihantar ke Tanjung Malim Perak bagi siasatan
kes polis yang lain pula.
Sumber