WASHINGTON – Pentadbiran Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama
mengemukakan bukti-bukti yang mengaitkan penglibatan Rusia dalam tragedi
sebuah pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) yang ditembak jatuh dekat
Grabovo, timur Ukarine pada 17 Julai lalu.
Menurut akhbar The Washington Post semalam, para pegawai kanan perisikan
AS turut mendedahkan imej satelit dan beberapa maklumat sensitif
perisikan yang menunjukkan Moscow memberi latihan serta membekalkan
senjata kepada kumpulan pemisah Ukraine yang didakwa bertanggungjawab
menembak jatuh pesawat MH17.
Pegawai-pegawai itu turut mengemukakan bukti lain seperti alat pengesan
yang mengesan laluan peluru berpandu, kesan serpihan pada badan pesawat,
analisis suara beberapa pejuang pemisah yang mendakwa melancarkan
peluru berpandu dan berpuluh-puluh gambar serta data lain dari internet.
Buat pertama kalinya, AS mengenal pasti terdapat kemudahan tentera Rusia
berhampiran bandar Rostov yang merupakan pusat sokongan Moscow terhadap
para pejuang pemisah di Ukraine.
Kemudahan berkenaan disyaki menjadi hab latihan dan bekalan senjata kepada para pejuang pemisah pro-Rusia.
Menurut para pegawai itu, kereta kebal, pelancar roket dan senjata lain
terus dihantar ke Ukraine walaupun selepas pesawat MH17 ditembak jatuh
dan mengorbankan seramai 298 penumpang.
Beberapa penganalisis dari Agensi Perisikan Pusat (CIA) dan agensi
perisikan AS yang lain turut meneliti maklumat berhubung nahas itu.
Namun, maklumat perisikan yang dikumpulkan dalam tempoh lima hari
selepas tragedi tersebut menunjukkan para pejuang pemisah Ukraine yang
mendapat sokongan Moscow telah menembak jatuh pesawat itu.
Beberapa pegawai perisikan AS juga berkata, mereka menolak kemungkinan
bahawa tentera Ukraine bertanggungjawab menembak jatuh pesawat
berkenaan.
“Ia merupakan satu senario yang mustahil,” kata seorang pegawai kanan AS.
Ujarnya, agensi-agensi perisikan AS telah mengesahkan bahawa Ukraine
tiada sistem peluru berpandu antipesawat yang berada pada jarang pesawat
MH17 ketika serangan berlaku.
Pegawai itu turut memberi taklimat kepada wartawan di sini bagi memberi
maklumat terperinci terhadap penilaian yang dilakukan agensi perisikan
AS.
Pertemuan itu yang turut dihadiri dua lagi pegawai perisikan AS yang
diatur bagi mengemukakan lebih banyak bukti bagi menolak dakwaan yang
dikemukakan Rusia sebelum ini.
Rusia sebelum ini menafikan mereka terlibat dalam kejadian tersebut atau
membekalkan para pejuang pemisah dengan pelancar peluru berpandu
antipesawat SA-11.
Sumber
No comments:
Post a Comment