Tips Pemasaran Rasulullah Untuk Usahawan Online & Offline
Alhamdulillah kita berjumpa lagi. Artikel saya kali ini
berkait tentang teknik pemasaran yang dilakukan oleh junjungan besar
kita Nabi Muhammad s.a.w. Apa yang saya catatkan ini adalah sebahagian
dari gaya perniagaan Rasulullah s.a.w. yang merupakan sunnah yang perlu
kita semua ikuti dan sampaikan kepada semua ummat baginda s.a.w. demi
manafaat juga kecemerlangan bersama.
Konsep Pemasaran 4P telah digunakan oleh nabi s.a.w. dalam
sepanjang aktiviti perniagaan baginda sebagai pedoman buat seluruh
ummatnya agar tidak mudah tergelincir dan sentiasa dalam rahmat Allah
s.w.t. Selain mencegah perbuatan yang dilarang oleh Allah, gaya
pemasaran yang Rasulullah s.a.w. amalkan ini mampu menjadikan kita
seorang usahawan yang benar-benar cemerlang serta memberi manafaat
kepada seluruh penghuni alam.
1- Produk (Produk)
Rasulullah S.A.W memasarkan barang dagangan atau produk yang menepati
citarasa pengguna di kalangan masyarakat. Baginda turut mengutamakan
kualiti produk sepertimana firman Allah yang bermaksud : “Wahai manusia!
Makanlah apa yang baik & dihalalkan di dunia dan janganlah kamu
mengikuti langkah syaitan” (Al-Baqarah: 168)
2- Promosi (Promotion)
Promosi adalah aspek penting dalam sesebuah perniagaan. Tanpa promosi
yang betul akan mengundang kegagalan yang memeritkan. Walau Rasulullah
s.a.w. menyedari betapa pentingnya promosi dalam melakukan perniagaan,
baginda tidak pernah melebihkan produk dengan maksud ingin memikat
pembeli.
Promosi merupakan komunikasi dua hala yang penting antara penjual dan
pembeli. Baginda tegas mengatakan bahawa seorang peniaga yang baik
perlu bersungguh-sungguh berusaha untuk menjauhi diri daripada sumpah
atau janji yang berlebihan dan melampaui batas. Daripada Abu Hurairah
r.a. Rasulullah s.a.w. bersabda: “Sumpah atau janji yang diucapkan untuk
melariskan perniagaan dapat merosakkan keuntungan” (Direkodkan oleh
Muslim)
Seterusnya dlm satu hadith baginda bersabda : ” Yang dinamakan jualan
palsu adalah usaha utk melariskan barang dagangannya, lagi berusaha
dengan cara yang tercela” (Direkodkan oleh Bukhari dan Muslim)
3- Penetapan Harga (Pricing)
Harga sesuatu barang dagangan atau jualan amatlah penting. Dalam proses
penetapan harga, Rasulullah s.a.w. mengamalkan konsep tertentu yang
dapat difahami dalam hadith di bawah daripada Abdullah bin Umar :
“Janganlah kamu menyaingi (secara tidak sihat) penjualan saudaramu
sendiri”
(Direkodkan oleh Bukhari & Muslim)
Jika diteliti dalam hadith di atas, persaingan yang tidak sihat
seperti perang harga yang melampau adalah dilarang. Namun baginda amat
mengesyorkan persaingan yang sihat dengan menekankan pada kualiti produk
dan memberi nilai hebat kepada pelangan dari produk yang dipasarkan.
4- Pemilihan Lokasi (Place)
Semua peniaga telah maklum tentang betapa pentingnya lokasi atau
pemilihan tempat dalam perniagaan. Pada zaman Rasulullah s.a.w. iaitu
lebih 1400 tahun dahulu, faktor pemilihan tempat amatlah ditekankan oleh
baginda. Pasar-pasar di sekitar Makkah menjadi tumpuan baginda kerana
di situlah pedagang-pedagang luar berkumpul dan mengedarkan barangan
yang dibawa.
Baginda telah berusaha menempatkan dirinya di kalangan peniaga di
sekitar Makkah terutamanya di pasar-pasar besar yang menjadi tumpuan
sejak dari kecil lagi. Di sanalah juga Rasulullah s.a.w. menjalinkan
jaringan sebanyak mungkin dengan para pedagang tempatan dan luar Makkah.
Di samping itu baginda mementingkan hubungan yang baik dengan semua
pelangannya.
Baginda telah melarang beberapa strategi yang tidak adil contohnya
strategi yang boleh membebankan petani-petani di kampung dan juga bakal
pelangan. Ini dapat difahami dengan lebih jelas dalam hadith baginda
s.a.w. daripada Jabir : ” Tidaklah dibolehkan penduduk kota menjadi
perantara niaga bagi orang di desa. Biarkanlah orang memperoleh rezeki
Allah satu daripada yang lain.” (Direkodkan oleh Muslim).
Dapat difahami secra umumnya, semua strategi yang mengundang kepada
ketidakadilan & kezaliman kepada mana-mana pihak adalah dilarang
menurut Rasulullah s.a.w. dan wajib dielakkan diamal oleh para peniaga.
Etika dan amanah serta jujur dalam berniaga amat penting demi
mendapatkan rezeki yang halalan toyyiban!
Terdapat lagi beberapa elemen penting yang ingin saya kongsikan dalam
artikel saya akan datang berkaitan ilmu pemasaran Rasulullah,
inshaAllah. Jangan jemu atau berhenti berkunjung ke blog PUIM.my ya…
Tips Pemasaran Kaedah Rasulullah di atas amatlah sesuai dilaksanakan
dalam perniagaan online juga perniagaan konvensional atau offline.
Gunakan kreativiti masing-masing dalam memproses maklumat di atas untuk
di praktikkan dalam urusan perniagaan. Wallaahu’alam.
Sumber : http://puim.my/
No comments:
Post a Comment