KAJANG - Seorang bekas pembantu akaun syarikat pengeluaran tudung
terkenal Fareeda mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini
hari ini terhadap 20 pertuduhan menipu pengarah urusan syarikat itu
berhubung pembayaran gaji pekerja membabitkan kerugian berjumlah
RM57,414.74 antara November 2013 hingga Januari lepas.
Normala Mohd Ali, 25, membuat pengakuan itu selepas kesemua pertuduhan
terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Aina Azahra Arifin.
Bagi tiga pertuduhan pertama, Normala didakwa menipu Pengarah Urusan
syarikat Fareeda Global Resources Sdn Bhd, Aminuddin Basirron, 44, untuk
mempercayai representasi satu akaun Maybank milik Noradibah Mohd Razib,
25, adalah pekerja syarikat itu sehingga mendorong Aminuddin membuat
pengesahan pembayaran gaji ke dalam akaun Nur Adibah.
Bagi 13 pertuduhan lagi, Normala bersama enam rakannya termasuk seorang
wanita didakwa dengan niat bersama menipu Aminuddin untuk mempercayai
representasi enam akaun Maybank adalah milik enam pekerja syarikat
Fareeda Global Resources sehingga mendorong Aminuddin membuat pengesahan
pembayaran gaji ke dalam semua akaun tersebut.
Rakannya itu ialah Intan Suria Abdul Rahman, 33, Mohamad Azuwad Mohd
Nor, 26, Mohd Fakrul Razib Mohd Ali, 35, Muhammad Alif Farhan Johari,
25, Mohd Amirul Bedoh Lahata, 21, dan Khairul Azimi, 27, masing-masing
mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan itu.
Normala turut didakwa terhadap empat pertuduhan bersubahat dengan bekas
kerani syarikat, Mohamed Nazreen Shah Yem, 21, untuk menipu Aminuddin
bagi tujuan sama membabitkan Muhammad Alif Farhan dan Mohd Amirul.
Mohamed Nazreen, yang juga didakwa atas kesalahan bersubahat itu,
bagaimanapun mengaku bersalah bagi pertuduhan pertama dan mengaku tidak
bersalah bagi tiga pertuduhan lain.
Kesemua perbuatan itu didakwa dilakukan dalam tiga kejadian berasingan
iaitu pada 28 Nov 2013, 30 Dis 2013 dan 29 Jan 2014 di pejabat syarikat
itu beralamat No. 69A-71A, Jalan 8/1, Seksyen 8, Bandar Baru Bangi di
sini.
Bagi kesalahan menipu, Normala dan enam tertuduh lain didakwa mengikut
Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10
tahun, denda dan sebatan.
Normala dan Mohamad Nazreen juga berdepan hukuman sama apabila didakwa
mengikut seksyen sama yang dibaca bersama Seksyen 109 kerana bersubahat.
Aina Azahra membenarkan Normala diikat jamin sebanyak RM122,000 dengan
seorang penjamin bagi kesemua pertuduhan manakala Mohamad Nazreen
dibenarkan diikat jamin RM25,000 dengan seorang penjamin.
Enam tertuduh lain dibenarkan diikat jamin antara RM6,000 dan RM20,000 dengan seorang penjamin bagi setiap seorang.
Mahkamah menetapkan 17 Jun depan untuk sebutan semula kes.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya R.Siamalah manakala kesemua tertuduh tidak diwakili peguam.
Sumber
No comments:
Post a Comment