INSIDEN kehilangan pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 kini diberikan
satu perkembangan terbaru apabila ada pendedahan bahawa Angkatan Tentera
Malaysia (ATM) sudah diarahkan untuk memantau pergerakan pesawat
berkenaan.
Bagaimanapun ATM dilihat membenarkan pesawat itu hilang dari radar
selepas membuat keputusan bahawa pesawat berkenaan dikategorikan sebagai
‘bukan ancaman’.
Pendedahan itu dilakukan oleh Pemangku Menteri Pengangkutan Datuk Seri
Hishammuddin Tun Hussein dalam satu temubual dalam program Four Corner
terbitan Australian Broadcasting Corp (ABC), menurut laporan portal The
Malaysian Insider.
Ini merupakan kali pertama Hishammuddin berkata bahawa pihak berkuasa
penerbangan Malaysia mengarahkan tentera memantau pergerakan pesawat
itu.
Perkembangan ini tidak dimasukkan ke dalam laporan awal lima muka surat
berkenaan kehilangan pesawat itu oleh Kementerian Pengangkutan pada 1
Mei lepas.
Laporan berkenaan yang mendapat kritikan hebat tidak memaklumkan
langsung berkenaan arahan berkenaan dari pihak berkuasa kepada tentera
untuk memantau pesawat itu.
Bagaimanapun, laporan ringkas itu yang turut dihantar kepada Pertubuhan
Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) hanya mendedahkan kejadian dalam
tempoh empat jam ketika komunikasi antara pesawat MH370, kawalan trafik
udara Malaysia dan negara lain terputus.
Ia juga mendedahkan tempoh masa yang diambil sebelum operasi mencari dan menyelamat dilancarkan.
Antara informasi lain yang dimuatkan di dalam laporan berkenaan yang
turut mengundang banyak tanda tanya dari para penganalisis ialah butiran
mengenai kandungan kargo dan juga rakaman audio komunikasi juruterbang
dengan kawalan trafik udara.
Pesawat MH370 hilang ketika dalam penerbangan ke Beijing, China dari Kuala Lumpur 8 Mac lepas.
Laporan itu juga mengatakan ada masalah komunikasi antara Jabatan
Penerbangan Awam (DCA) dan ATM khususnya Tentera Udara Diraja Malaysia
(TUDM) biarpun mereka berkongsi kemudahan kawalan trafik udara di
Lapangan Terbang Subang.
Turut didedahkan pesawat MH370 dengan jumlah 239 orang penumpang telah
terbang merentasi Pangkalan TUDM di Pulau Pinang tetapi pihak berkuasa
Malaysia tidak melakukan apa-apa.
Sumber
No comments:
Post a Comment