"KEPALA
BATAS: Ahli Jawatankuasa Fatwa Kerajaan Negeri Terengganu, Dr Zulkifli
Mohammad Al-Bakri (gambar) menyarankan kepada Kerajaan Malaysia supaya
mengasingkan tugasan perbidanan kepada golongan wanita sahaja.
Beliau
menyatakan demikian ketika membentangkan kertas kerja bertajuk
'Ubat-ubatan Dan Vaksin Yang Tidak Halal: Perbincangan Serta Fatwa Ulama
Dalam Penggunaan Dan Pengurusannya' di Konvensyen Perubatan Islam dan
isu Fiqh Perubatan Peringkat Kebangsaan Tahun 2013 di Perbadanan
Produktiviti Negara, di sini pagi tadi.
Kata beliau, sudah sampai
masanya kerajaan menetapkan agar wanita yang bersalin disambut oleh
doktor wanita sahaja bukan lelaki seperti yang berlaku di sesetengah
hospital hari ini.
"Saya sarankan kepada Kerajaan Malaysia supaya
buat perubahan besar dalam kaedah perbidanan agar tidak membenarkan
doktor lelaki menyambut kelahiran bayi sebaliknya ianya diuruskan oleh
doktor wanita," ujarnya.
Beliau yang sering bersiaran di TV
Hijrah turut bertanya kepada peserta konvensyen adakah tuan tidak rasa
malu tubuh badan isteri anda dilihat oleh 8 orang doktor dan pembantu
doktor dalam bilik bersalin.
Katanya lagi, tidak wajar kemajuan negara yang semakin canggih masalah tersebut tidak boleh diatasi lagi.
Lagipun
sekarang ini, ujarnya tidak logik sebuah negara yang sudah lama merdeka
tidak boleh mengubah perkara sedemikian kerana ia tidak memerlukan
akta.
"Masa kini tidak logik lagi sekiranya masalah sambut bayi
tidak boleh diberikan tugasan kepada doktor wanita sepenuhnya sebab
doktor wanita dah ramai di bahagian perbidanan," tegasnya.
Program
anjuran Unit Hal Ehwal Islam Hospital Pulau Pinang dengan kerjasama
Kelab Kebajikan dan Sukan Pejabat Kesihatan Daerah Seberang Perai Utara
dan International Muslim Aid Malaysia (IMAM ) itu dirasmikan oleh
Penolong Pengarah Kanan Perubatan Jabatan Kesihatan negeri, Dr Sabri
Osman.
silverheritage.blogspot.com
No comments:
Post a Comment