Wednesday, June 12, 2013

TPM Berfikiran Dangkal Dan Berjiwa Kecil

Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) membidas kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang menyatakan Pentadbiran Barisan Nasional (BN) akan memberi “bantuan lebih kuat” kepada komuniti yang menyokong mereka semasa pilihanraya umum ke 13.

DPPM menganggap kenyataan TPM berbaur kebencian kaum serta politik dendam yang cuba dilunaskan terhadap komuniti Cina kerana majoriti kaum Cina menolak BN dalam PRU ke 13. Ia jelas membawa mesej perkauman yang sempit dan boleh mencetuskan perasaan tidak senang, dendam, perbalahan serta ketegangan kaum yang serius.

Pandangan TPM menjadikan beliau seorang yang sudah tidak lagi berfikiran rasional dalam meletakkan pertimbangan yang adil terhadap rakyat. Beliau mungkin telah lupa bahawa beliau seorang TPM dan sebarang kenyataan beliau boleh ditafsirkan oleh banyak pihak. Boleh jadi pengikut atau penyokong beliau benar-benar mengambil kata-kata beliau dengan mengambil tindakan agresif yang merugikan negara terhadap komuniti Cina serta memilih-memilih ‘bulu’ dalam memberikan sumbangan.

DPPM merasa hairan, bagaimana sebuah kerajaan akan menjadi stabil sekiranya TPM sendiri berpandangan sempit, penuh prejudis serta bersikap tidak adil dalam memberikan agihan kekayaan negara kepada semua kaum di negara ini. Apakah Tan Sri Muhyiddin merasakan rakyat menolaknya dalam PRU ke 13 maka rakyat tersebut perlu ditolak dari menerima apa sahaja bantuan atau dikurangkan bantuan dari yang sepatutnya. Beginikah pemahaman demokrasi beliau?

Tan Sri Muhyiddin barangkali terlupa bahawa rakyat yang menolak BN adalah majoriti 49% manakala hanya 46% sahaja yang menerima BN. Itupun BN diselamatkan oleh pengundi di kawasan Parlimen yang kecil melalui persempadanan yang tidak adil. Jika itulah perkiraannya, “bantuan yang kuat” hanya akan tersalur pada parlimen kecil yang selamatkan nyawa BN sahaja manakala rakyat di kawasan parlimen yang besar dan menolak BN akan menerima bantuan sedikit sahaja.

Selain itu, TPM juga jelas tidak mengetahui bahawa asas penolakan BN bukan sahaja hadir dari kaum Cina, malah bangsa Melayu dan India terutama di kawasan bandar turut menolak kepimpinan BN dalam PRU ke 13. Sekali lagi beliau hanya diselamatkan oleh pengundi luar bandar dan mungkin selepas ini pengundi bandar akan kurang menerima bantuan sebagaimana pengundi luar bandar seperti yang dimaksudkannya itu.

Jika beginilah sikap TPM, beliau tidak layak menjadi pemimpin negara serta tidak layak digelar negawaran di negara ini kerana berjiwa kecil. Tan Sri Muhyiddin hanya layak menjadi pemimpin UMNO-BN sahaja, bukan sebagai TPM yang memimpin jutaan rakyat berbilang kaum di negara ini.

DR RAJA AHMAD AL HISS
Naib Ketua
Dewan Pemuda PAS Malaysia 


Sumber : http://www.tranungkite.net 




No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...